ERTI BAHAGIA

0 comments

Kalau kita sama-sama perhitungkan, bahagia itu mempunyai kaedah sebanyak orang, sebanyak penderitaan, sebanyak pengalaman, sebanyak kekecewaan.


Seorang yang rindu dan bercinta, mengatakan hasil maksudnya itulah bahagia.


Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan.


Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan.


Seorang mahasiswa berasa bahagia disaat bergelar sarjana.


Seorang yang berjiwa rakyat berpendapat bahawa kemerdekaan dan kecerdasan bangsa yang dipimpinnya itulah bahagia.


Mereka yang terjerumus ke lembah dosa mengatakan bahawa terhenti dari dosa itulah bahagia.


Kita akan bertambah bingung memikirkan hal ini. Dimanakah sebenarnya bahagia itu? Sebab itu kita berusaha mencari bahan bacaan yang kita rasa penting, karangan ahli falsafah, psikolog, pakar motivasi dan pengalaman hidupnya, adakah tersimpan di sana bahagia itu.

Kita kumpulkan bahan bacaan itu menjadi satu. Kita susun menjadi sebuah karangan, untuk menjadi penyuluh jalan kebahagiaan, tetapi belum lagi bahagia!

Maka kebahagian yang kita cari itu terlalu tinggi. Kita hanyalah mengumpulkan pendapat orang banyak, kerana begitulah kita dalam hidup ini. Kadang-kadang pendapat mereka itu belum pernah dirasai, hanya angan-angan sahaja begitulah. Kadang-kadang telah merasai tetapi tak berasa puas, kerana tak mudah manusia melukiskan kelazatan yang dirasai. Namun dengan membaca pendapat budiman itu, moga-moga terubatlah hati, tercapai bahagia, walaupun tidak seluruhnya, sebahagian pun cukuplah…

PENDAPAT PEMIKIR ZAMAN SEKARANG

Ahli pemikir zaman ini ada yang putus asa, yang kecewa dan ada yang merasa sukar sekali mencari bahagia itu.

Hendrik Ibsen, pemikir bangsa Norwegia (1828-1906) berkepercayaan bahawa mencari bahagia itu hanya menghabiskan umur saja, kerana jalan untuk menempuhnya sangat tertutup, setiap ikhtiar untuk melangkah ke sana sentiasa terhalang. Mula-mula mereka yang menujunya menyangka bahawa perjalanan telah dekat, padahal dekat ke jurang tempat jatuh.

Beliau berkata, “Kita belum mencapai bahagia, sebab tiap-tiap jalan yang ditempuh menjauhkan kita daripadanya.”

Cuba pembaca fikir, tidaklah patut ahli falsafah ini berpendapat demikian? Berapa banyak kita lihat dalam hidup ini manusia berikhtiar mencapai bahagia dengan bermacam jalan, tapi boleh dikatakan tiap-tiap penempuh itu jatuh di tengah jalan.

Dua pasangan yang dilamun cinta berhasrat memenuhi kemahuan hatinya dengan jalan pernikahan, mereka berjanji akan saling kasih mengasihi. Tapi setelah beberapa tahun melayari bahtera bersama, cinta bertukar menjadi amarah, hormat menjadi benci, rumah tangga yang dibinanya menjadi retak.

Seketika orang miskin yang bercita-cita hendak kaya, kerana menurutnya bila harta telah cukup bahagia akan tercapai, sebab dapat membantu sesama hamba Allah. Tetapi setelah dia kaya dia menjadi sombong, harta bendanya disimpan dan dia menjadi kikir.

Sebelum ia menjadi Ahli Parlimen atau Perdana Menteri, ia berjanji dihadapan rakyat bahawa dia akan membantah segala sifat zalim. Tapi setelah kerusi diperolehnya, bertukar kezaliman menteri yang hilang kepada menteri yang baru. Demikianlah antara lain contoh-contoh.

Kerana itulah Failasof Hendrik Ibsen berkata bahawa mencari bahagia itu membuang umur sahaja. Tapi hakikatnya, sikap beliau itu adalah sikap putus asa.

Thomas Hardy pun segolongan dengan Hendrik Ibsen. Sama-sama putus asa dalam mendaki, memanjat dengan bermacam-macam ikhtiar untuk mencapai bahagia, bahagia itu tidak dapat jua.

PENDAPAT BUDIMAN TENTANG BAHAGIA

Orang yang perpegang teguh dengan agama, kebahagiaannya adalah meninggalkan perkara yang terlarang, mengikut yang disuruh, menjauhi yang jahat, mendekati yang baik. Bahagianya adalah pada mengerjakan agama.

Ibnu khaldun, bapa ilmu Sosiologi Moden berpendapat, “Bahagia itu adalah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan.”

Imam al-Ghazali, dan ikutan dari segala tabib jiwa berpendapat bahawa, “Bahagia dan kelazatan yang sejati, ialah bilamana dapat mengingat Allah”.

Adapun, kelazatan hati ialah teguh ma’rifat kepada Allah, kerana hati itu dijadikan buat mengingat Allah. Tak ubah dengan orang yang baru pandai bermain bola sepak, dia tak henti-henti bermain, meskipun telah dilarang berkali-kali, tidak sabar hatinya kalau tidak bertemu dengan bola sepak. Demikian pula hati, yang dahulunya belum ada ma’rifat kepada Tuhannya, kemudian dia mendapat nikmat mengenalNya, sangatlah gembiranya, dan tak sabar dia menunggu masa akan bertemu dengan Tuhan itu.

Tiap-tiap bertambah makrifat, bertambah pula kelazatannya.

Seorang rakyat biasa akan sangat gembira kalau dia dapat berkenalan dengan seorang yang berpangkat Dato’, kegembiraan itu akan naik berlipat kali ganda kalau dia dapat berkenalan pula dengan Sultan. Tentu saja berkenalan dengan Allah adalah puncak dari segala macam kegembiraan, lebih dari apa yang dikira-kirakan oleh manusia, sebab tak ada yang maujud ini yang lebih dari kemuliaan Allah.

JALAN BAHAGIA

Sekarang fahamlah kita bahawa segala sesuatu di alam ini baik dan buruknya bukanlah pada zat sesuatu itu, tapi penghargaan kehendak kita atasnya, menurut tinggi rendahnya AKAL kita.

Apalah gunanya kereta bagi orang yang tak pandai memandunya?

Apalah harga al-Quran bagi seorang atheis (tidak beragama)?

Apalah harga intan bagi orang gila? Sebab itulah manusia disuruh membersihkan akal budi, supaya dengan dia kita mencapai bahagia yang sejati.

Sekarang mari kita dengar pendapat Nabi Muhammad Saw. Dari Aisyah Radhiallahu’Anha, bahawa pada suatu hari dia bertanya kepada Rasulullah saw., “Ya Rasulullah, dengan apakah kelebihan setengah manusia dari yang setengahnya?”

Rasulullah saw. menjawab, “Dengan akal!”

Kata Aisyah pula, “Dan di akhirat?”

“Dengan akal juga.” Kata beliau.

“Bukankah seorang manusia lebih dari manusia yang lain dari hal pahala amal ibadahnya?” kata Aisyah pula.

Rasulullah menjawab lagi, “Hai Aisyah, bukankah amal ibadah yang mereka kerjakan itu hanya menurut kadar akalnya? Sekadar ketinggian darjat akalnya, sebegitulah ibadah mereka dan menurut amal itu pula pahala yang diberikan kepada mereka.”

Sabda Rasulullah pula, “Allah telah membagi akal kepada tiga bahagian, siapa yang cukup mempunyai ketiga bahagiannya, sempurnalah akalnya, kalau kekurangan walau sebahagian, tidak lah ia terhitung orang yang berakal.”

Orang bertanya, “Ya Rasululah, manakah bahagian yang tiga macam itu?”

Kata beliau, “Pertama, baik ma’rifatnya kepada Allah. Kedua, baik taatnya kepada Allah, Ketiga, baik pula sabarnya atas ketentuan Allah.”

Dari sabda nabi itu, dapat kita ambil kesimpulan bahawa darjat kebahagiaan itu menurut darjat akalnya. Kerana akallah yang dapat membezakan antara baik dengan buruk. Bertambah sempurna, bertambah indah dan murni akal itu, bertambah tinggi darjat kebahagiaan yang kita capai.

Wallahua’lam

K-INTENSIF

0 comments
(Blog PKPMI-CM)

Keperluan melahirkan pemimpin-pemimpin Negara amat mendesak lantaran pentingnya pendidikan harus didukung oleh penguasaan bahasa asing sebagai alat pencerdasan.

Bahasa adalah salah satu soal kecerdasan bangsa yang terpenting. Bahasa kita sendiri menjadi syarat bagi berdiri tegaknya kebudayaan kita. Akan tetapi, satu kebudayaan yang hidup, tidak cukup hanya dengan tinggal berdiri sahaja. Ia perlu tumbuh, bertambah, berubah, dan bergerak dinamik. Justeru perlu kepada pertukaran ‘udara’, perlu kepada tambahan ‘baja’, perlu kepada tambahan ‘air’ yang menjadi syarat penawar hidupnya.

Oleh sebab itu, disamping bahasa ibonda kita sendiri, bahasa asing yang lebih luas dan lebih kaya dapat menghubungkan kita dengan negara luar, menjadi suatu rukun yang tak boleh tidak, bagi kemajuan dan kecerdasan kita.

Dr. Muhammad Natsir, tokoh nasional Indonesia berkata mengenai alam melayu,

“Kalau kita disini mengatakan ‘bahasa asing’, ghalibnya kita ingat kepada bahasa Belanda, Inggeris, Perancis, Jerman, atau lain-lain. Dan memang bahasa Belanda, bahasa Inggeris, dan sebagainya itu banyak jasanya... Ini tidak kita mungkiri! Akan tetapi, jangan kita lupakan bahawa sebelum bahasa Belanda menjadi perhubungan dengan dunia luar, sebelumnya bahasa inggeris mulai dipelajari dikalangan bangsa kita. Kita di Indonesia sudah berpuluh tahun terlebih dahulu mempunyai bahasa perhubungan, jembatan yang menghubungkan kita dengan sumber kebudayaan dunia luar, iaitu bahasa Arab! .... dan bagi kita kaum Muslimin, adalah bahasa arab itu satu bahasa persatuan yang tak akan mungkin dicarikan gantinya, bahasa kunci dari perbendaharaan ilmu dan pengertian agama kita. Besar kerugian dan kerusakan yang menimpa kita apabila bahasa ini kita abaikan dan kita kesampingkan.”

Sehubungan dengan itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Medan (PKPMI-CM) yang memiliki majoriti ahlinya adalah muslim dan meletakkan asas perlembagaannya berteraskan nilai-nilai islam dan ideologi kebangsaan Negara bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam mendidik anak bangsa untuk mendalami bahasa asing tanpa mengesampingkan kepentingan penganut agama lainnya.

Pada peringkat awal, pihak persatuan akan tumpu kepada penguasaan Bahasa Arab terlebih dahulu sebelum bahasa asing lainnya.

Mudah-mudahan, akan lahir doktor dari bumi Indonesia yang seimbang antara (dunia-akhirat), (Leiden-al-Azhar), (Oxford-Madinah). Insya' Allah. Ya, memang benar apa yang dinyatakan oleh H.M Anis Matta, ternyata kita perlukan pemimpin yang bersifat multi-dimensional.

Kita mulakan dengan penguasaan bahasa.

"Penguasaan Bahasa Asing Lambang Kecerdasan Minda Bangsa"

TAUBAT INDONESIA-MALAYSIA

5 comments
Sumatra dikejutkan dengan gempa berkekuatan 7.6 skala richter. Angka kematian terus meningkat. Ditakutkan angka korban terus meningkat. Demikian harian Belanda de Volkskrant.

Kami tak pernah memungkiri fakta sains yang menyatakan bahawa daerah Sumatera Barat terletak pada garisan lingkaran api pasifik. Kawasan laluan gempa dan gunung berapi. Sumatera Utara juga sama. Perjalanan alam dengan aturan sebab-akibatnya (cause and effect) amat selari dengan orientasi perkembangan sains. Namun sains tanpa agama adalah ‘buta’, lantaran tidak semua persoalan mampu dijawab oleh sains. Dan hingga ke saat ini, belum ada satu teknologi yang mampu mendeteksi waktu terjadinya gempa tektonik maupun bencana nasional lainnya.

Saya teringat pada satu kisah, ketika Saidina Umar bin Khattab menjadi Amirul Mukminin, terjadi gempa besar di salah satu wilayah kekuasaannya yang sangat hebat dan luas sehingga mengorbankan banyak jiwa.

Umar mendatangi wilayah tersebut, bersua dan mengumpulkan para penduduknya. Kalimat yang pertama muncul dari bibir Umar bin Khattab bukanlah ucapan takziah sebenarnya. Dan bukan juga rasa simpati. Pernyataan pertama yang keluar dari Umar bin Khattab justeru ajakan untuk memuhasabah diri.

“Wahai semua dari kalian, apa yang telah kalian perbuat? Maksiat apa yang telah kalian lakukan, sehingga Allah menurunkan peringatan sedemikian rupa? Hingga Allah menurunkan musibah begini dahsyatnya?” Itulah ucapan Umar pada penduduknya. Dan, itulah contoh kebijaksaan akal pemikir Islam berbanding akal pemikir Barat yang sekular.

(Gempa bumi di Padang, Sumatera Barat, Indonesia)

Sedar ataupun tidak, Negara kita ini sudah 400 tahun sujud kepada berhala yang di import dari Barat. Sekularisme namanya. Dan berhala ini punya tabiat buruk. Ia sangat suka berlindung disebalik agama. Kita sebut dengan panggilan Islam Liberal, Islam Amerika, Islam Progresif, Islam Hadhari, dan juga Islamisasi Ilmu Sosial Barat.

Penyembah berhala ini meletakkan peranan akal di atas petunjuk wahyu. Rujukan mereka hanya satu iaitu ahli pemikir Yunani bukannya petunjuk daripada wahyu Allah. Namun strategi mereka di dunia islam, ia akan berlindung dibelakang ahli pemikir Islam peripatetik (al-Mashaai’yyin) yang menyeleweng.

Ia sungguh mengelirukan.

Di dalam menerangkan hakikat kekeliruan ini, Mustafa Muhammad dalam bukunya “al-Harakah al-Islāmiyyah al-Hādithah fi Turkiya” mendedahkan strategi Mustafa Kamal yang cuba membunuh ajaran tauhid,

“Sesungguhnya Mustafa kamal telah menyelinap masuk ke dalam fikiran orang ramai secara sembunyi-sembunyi, dan di dalam mencapai kehendak-kehendaknya dan fikiran-fikirannya ia telah beransur-ansur dari waktu ke waktu..

Maka dia pada satu peringkat mahu menyatukan Negara dan menghalau keluar perampas yang menjajah.. dan tatkala para pembantunya mensyaratkan kepadanya agar ia jangan menyentuh institusi khilafah sebagai balasan dari sokongan mereka kepadanya, lalu ia menegaskan dengan bersungguh-sungguh bahawa ia akan berpegang teguh dengan permintaan itu… Kemudian anda melihat ia mula memisahkan kekuasaan daripada khalifah… Dan kemudian anda melihatnya pula menghapuskan sepenuhnya institusi khalifah… Dan akhirnya dia mengistiharkan pula penubuhan sebuah Negara republic, dan menyeru secara terus terang kepada Sekularisme dan penghapusan islam.

Dan di dalam setiap peringkat dari peringkat-peringkat itu ia sentiasa menggunakan dari lelaki dan pemikiran yang bersesuaian dengan peringkat itu… Dan suatu perkara yang biasa bahawa Mustafa kamal mempergunakan para ulama dalam setiap peringkat yang berbeza itu... Dan dari kalangan para ulama yang cuba didekati olehnya dan mengambil manfaat dari kedudukan ilmiah, adabiah dan kemasyhuran mereka ialah Badiuzzaman an-Nursi.. Akan tetapi ketajaman faham beliau dan ilmu beliau telah memeliharanya pada penghujung dari cerun yang amat berbahaya itu”

Cukuplah sebagai contohnya, simpanan al-Wadi'ah. Pada hakikatnya, disebalik nama islam itu adalah menyalahi syarat-syarat wadiah yang sebenar dalam fiqih islam. Buatlah sedikit sahaja penelitian ilmiah. Nescaya anda akan menemukan bahawa syarat-syarat tersebut tidak dapat dipenuhi kerana Bank terpaksa tunduk kepada peraturan Bank Kapitalis sebagaimana yang dipertahankan oleh sebuah Negara yang bertuhankan Sekularisme.

Bahkan lebih buruk daripada itu, melalui penyelarasan kepada peraturan perbankan ekonomi kapitalis, konsep al-Wadi'ah tersebut secara praktikalnya telah bertukar menjadi Qardu ar-Ribāwi yang diharamkan oleh islam itu.


(Antara contoh bank kapitalis yang menjaja perbankan Islam)

Sesungguhnya nasib segala pembaharuan ekonomi islam dalam sebuah negara sekular telah diprogram dengan begitu teliti agar berakhir dalam pangkuan Kapitalisme jua. Inilah syarat yang cuba disampaikan oleh kaunter-kaunter perbankan tanpa faedah, khidmat al-Mudhārabah, dan ar-Rahnu yang mula ditawarkan oleh kebanyakkan bank kapitalis. Ini bukanlah berita gembira tapi sebagai senyuman sinis dari syaitan kapitalis yang layak ditampar oleh setiap muslim yang bermaruah!

Bacalah kenyataan penganut ajaran kapitalisme Malaysia yang sophist (loyar buruk) itu, kononnya mahu mempelopori ‘ekonomi islam’,

“Dalam mewujudkan sistem kewangan islam kita jangan cuba meruntuhkan sistem kewangan konvensional (kapitalisme), samada semuanya atau pun sedikit demi sedikit. Apa yang perlu kita buat adalah mendirikan sebuah masjid kewangan islam bersebelahan kuil kewangan konvensional dan cuba menarik perhatian umum daripada kuil tersebut kepada masjid yang kita bina. Inilah falsafah yang kita pegang dalam melaksanakan perbankan islam di Malaysia”

Ini baru satu contoh. Dan, saya punya banyak contoh pembohongan yang dilakukan oleh penyembah-penyembah sekularisme di tanah air daripada aspek undang-undang sosial, politik, dan ekonomi.

Oleh itu, kami menyeru kepada para pemimpin dan rakyat Malaysia-Indonesia supaya segera bertaubat. Bertaubat daripada menganut fahaman Sekularisme kepada mengesakan Allah Swt. melalui perlaksanaan hukum-hukum syariat-Nya secara kāffah (keseluruhan).

Yakinlah janji Rasulullah saw.,

“Mendirikan satu hudud adalah lebih baik dari disirami hujan selama empat puluh malam dalam sebuah negeri kepunyaan Allah azza wajalla” (Riwayat an-Nasaai, Ibnu Majah dan Ahmad)

Doktor Wahbah Zuhaili, penyusun tafsir al-Munir telah menjelaskan pengajaran penting dari ayat 25 surah al-hadid dalam tafsiran dengan berkata, “Ayat ini adalah merupakan perlembagaan masyarakat islam dan sistem perundangan masyarakat Islam. Masyarakat Islam itu adalah masyarakat yang berhukumkan dengan undang-undang langit, berasaskan manhaj kebenaran, keadilan, dan persamaan, dan ianya ditegakkan dibawah lindungan kekuatan yang memelihara dasar-dasar perundangan itu, yang menolak dan mengancam sesiapa sahaja yang berkeinginan melanggarnya atau mencabar kesuciannya, atau berusaha untuk menghapuskannya, atau sesiapa sahaja yang cuba menyekat perkembangan dakwah Islam dalam Negara islam atau diluarnya.”

Pada tahun lalu, saya pernah ke Padang menghadiri program Halaqah “Ini Sejarah Kita” bersama mahasiswa Malaysia di Universiti Andalas. Saya tersenyum sinis melihat begitu banyaknya papan tanda wajah ahli politikus yang diganding dengan asmā’ Allah. Dibawahnya tertera slogan “Dengan nama Allah, Allah menyelamatkan Kota Padang. Baik. Saya nak tanya kepada ahli politik sekular ini, apakah nama Allah hanya layak dipajang saja, sementara peraturannya tak pernah terlaksana? Dimanakah irādah Allah al-Tashri’iyyah (kehendak Allah dalam penanggungan syarak ke atas hambanya)?

Prof. HAMKA, tokoh idola saya pernah berkata dalam Tasauf Modernnya,

“Kita dilarang untuk mencari hormat dan nama. Tapi kita tidak dilarang untuk mencari kehormatan ke arah perbaikan budi pekerti. Gila hormat itu tidak boleh, tapi mencari kehormatan itulah TUJUAN dan MATLAMAT HIDUP.”

Taubat dari segala kesalahan tidaklah membuat seorang terhina di hadapan Tuhannya. Hal itu justru akan menambah kecintaan dan kedekatan seorang hamba dengan Tuhannya kerana sesungguhnya Allah sangat mencintai orang-orang yang bertaubat dan mensucikan diri. Sebagaimana firmanya dalam surah Al-Baqarah: 222, "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." Lihat juga ayat (2:160), (3:133), (66:8).

Wallahua’lam.

SALAM TAKZIAH BUAT WARGA SUMATERA BARAT.

0 comments

Petang itu. Satu kiriman sms daripada En. Akmal, pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerjah masuk ke handphone Nokia ku.

“Assalam aizat, boleh bg hp ketua pkpmi di padang?”

Saya terus melacak buku telefon elektronik. Mencari nombor telefon Yang Di-Pertua Persatuan Pelajar-pelajar Malaysia-Cawangan Padang (YDP PKPMI-CP).

Alhamdulillah. Nasib baik ada. Tak sia-sia saya pergi ke Kongres PKPMI di Jakarta pada agustus kelmarin.

Farhaim namanya.

Saya langsung kirimkan kepada pegawai Konsulat Jeneral Malaysia Medan itu melalui multimedia message.

“Mungkin di Padang ada masalah talian. Kalau tak dapat, boleh contact Amir di no 087895311888”, saya berikan juga nombor phone teman akrabnya sebagai langkah berjaga-jaga.

Saya sadar. En. Akmal adalah petugas yang diberi amanah oleh kerajaan Malaysia untuk membawa pulang seluruh pelajar Malaysia di Sumatera Barat dengan pesawat tentara udara dengan selamat. Saya tahu bahwa kejadian gempa bumi berskala 7.6 ritcher baru sahaja menggoncang bumi Minangkabau pada tanggal 30 September 2009 kelmarin. Dan saya tahu, sebagian besar wilayah Padang telah mengalami kerosakan teruk, angka kematian mencecah ribuan nyawa.

Pada keesokan petangnya, saya hubungi En. Azman semula. Beliau menyatakan bahawa semua penuntut Malaysia di Padang telah berjaya dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.

“Kamu tahu apa yang dikeluhkan oleh pelajar itu semua sebaik saja sampai di Malaysia?” Tanya En. Azman.

“Apa dia En. Azman, ada yang cedera ke? Risau saya.

“Bukan. Semuanya ok. Mereka hanya berkata, kami lapar bang, lama tak makan. Hahaha.En. Azman ketawa terbahak-bahak. Lucu mendengar respon spontan mereka.

Saya hanya mampu untuk ketawa kecil. Dan, fenomena gempa ini mendorong saya untuk melaungkan kempen TAUBAT MALAYSIA-INDONESIA!

(Misi membawa pulang warga Malaysia, mangsa gempa di padang. Sumber Bharian)

TITIK KEKELIRUAN GAGASAN ISLAMISASI ILMU

10 comments
Pada tahun 2002, Zulkifli Ismail, pengasas madrasah Baitul Qurra merangkap Ketua Dewan Ulama PAS Melaka menulis dalam magnum opus-nya Ancaman Bahaya Sekularisme berkenaan kepalsuan aliran keintelektualan semasa seperti aliran islamisasi ilmu dan anti hadis, sebagai peringatan kepada kaum muslimin,


“Hakikat ini perlulah difahami dengan sebaiknya supaya umat islam dapat pula menyelamatkan diri dari kepalsuan dan kesesatan gagasan islamisasi ilmu-ilmu sosial barat yang didukung oleh sebahagian intelektual di Negara-negara umat islam di zaman ini.”


Beliau menyedari kegelapan serta bahaya yang berada disebalik gagasan tersebut. Secara jelas beliau menyebutkan bahawa meletakkan umat islam berpandu kepada apa yang bersifat andaian
(zhanni/doubtful) di sisi manusia dengan meninggalkan apa yang diyakini pada akidah dan syariat mereka adalah pekerjaan bodoh yang sedang melanda sebahagian para intelektual dan cerdik pandai yang ditipu syaitan di zaman ini. (Yunus: 36)


DARI RASIONALISME KE LINGUISTIK

Dalam dunia falsafah terdapat dua jalur pemikiran besar yang saling berseberangan iaitu rasionalisme dan empirisme. Dalam perkembangannya, Rasionalisme diusung oleh banyak tokoh, masing-masingnya dengan ajaran-ajaran yang khas, namun tetap dalam satu koridor yang sama. Pada abad ke-17 terdapat beberapa tokoh kenamaan seperti René Descartes, Gottfried Wilhelm von Leibniz, Christian Wolff dan Baruch Spinoza. Sedangkan pada abad ke-18 nama-nama seperti Voltaire, Diderot dan D’Alembert adalah para pengusungnya.


Seperti juga pada Rasionalisme, maka pada Empirisme pun terdapat banyak tokoh pendokong yang tidak kalah popularnya. Tokoh-tokoh dimaksud antaranya adalah David Hume, John Locke dan Bishop Berkley. Para penganut aliran empirisme tentu sahaja menentang kaum rasionalis yang begitu memberikan tempat dan peranan akal dalam proses lahirnya pengetahuan. Mereka mengajarkan bahawa pengetahuan diperoleh menerusi pengalaman.


Kemudian muncul aliran Fenomenalisme Kant yang dikemukakan oleh Immanuel Kant, seorang ahli falsafah Jerman. Dia berusaha keras mendamaikan pertentangan antara empirisme dan rasionalisme. Menurut hemat Kant, dalam proses ilmu pengetahuan unsur rasio dan indera sama-sama berperanan.


Daripada Kant, mengalir fahaman yang cuba mendamaikan antara falsafah Timur dan Barat seperti Schopenhauer. Kemudian Wittgenstein, Deisme, dan Russell mula memperkenalkan falsafah analisis malah mereka cuba memurnikan lagi ilmu pengetahuan supaya kelihatan lebih objektif. Aliran ini mengambil sikap pertengahan
(wasatiah) dalam falsafah Barat.


Pada tahun 1920-an pergerakan falsafah logika positivisme (atau logika empirisme) muncul di Austria dan Jerman. Aliran ini berusaha menstabilkan antara analisis logik ilmu pengetahuan saintifik dengan fahaman positivisme Comte yang
ilhad, mengulangi semula keneutralan Kant. Falsafah linguistik analisis yang muncul mendorong aliran-aliran Islam ini (seumpama Al-Attas) menyuntik kembali ontologi (worldview/welstanchaung) Islam selepas dipisahkan oleh logika positivisme kerana aliran linguistik dianggap lebih berdisiplin. Disinilah munculnya Islamisasi Bahasa. Disinilah juga letaknya antara seribu satu kedangkalan gagasan islamisasi ilmu sains sosial, iaitu suatu cubaan halus untuk menyelaraskan antara ajaran agama dan ajaran metodologikal Falsafah Barat yang rapuh (atau antara naql dan ‘aql)

International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC): Pusat Pemikiran Islamisasi Ilmu Mazhab Attasian di Malaysia

Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Pendiri ISTAC

Apabila dicermati lebih mendalam, mana-mana aliran yang berguru dengan Barat begitulah kesudahannya. Mereka tidak akan nampak nass syariat Allah Swt. sebagai jalan keluar. Akibat terlalu ghairah dengan kemampuan akal (‘aql/reason), mereka rela menolak petunjuk Qur’an Sunnah dan ijtihad para ulama yang mu’tabar. Para cendekiawan muslim menyebut mereka sebagai jahil murakkabun.

Mereka lebih yakin kepada falsafah dan pemikiran Barat, tapi yang telah menjalani proses desekularisasi (desecularization), dewesternisasi (dewesternization), dan integrasi holistic ilmu (holistic integration of knowledge) menurut teori dan nafsu mereka, lalu memposisikannya sebagai sumber hukum Islam yang ke-5 selepas Qur’an, Sunnah, Ijmaa’, dan Qiyas! Persoalannya, bagaimanakah umat Islam boleh berpandu pada yang bersifat spekulasi (zhanni/doubtful) dan meninggalkan apa yang diyakini pada akidah dan syariat mereka?

Dalam hal ini, tokoh mujaddid islam, As-Syaheed Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan panduan dalam Usul Isyrin, iaitu prinsip yang ke 19,

“Terkadang pandangan syar’i dan pandangan ‘aqli tidak dapat saling memasuki wilayah lainnya. Tetapi keduanya tidak akan berbeza dalam masalah yang qath’i. Maka hakikat ilmiah yang benar dan kaedah syar’iyah yang kukuh tidak akan pernah bertentangan. Sesuatu yang bersifat zhanni perlu ditakwil agar sesuai dengan yang qath’i. Apabila keduanya bersifat zhanni maka pandangan syar’i lebih diutamakan untuk diikuti, sehingga yang ‘aqli menjadi benar-benar putus atau gugur sama sekali”

Sebagai contoh mudahnya, dalam penciptaan nabi Adam a.s. Al-quran menyatakan bahawa ia diciptakan oleh Allah Swt., tapi telah dinafikan oleh penemuan ilmiah yang bersifat spekulasi (zhanni/doubtful). Charles Darwin dalam bukunya, The Origin of Species berkata bahawa manusia berkembang daripada air. Ini adalah andaian atau zhanni semata ! Dan belum pernah dibuktikan secara ilmiah hingga ke hari ini. Oleh itu, teori evolusi hendaklah di takwil (ta’wil/interpret) agar tunduk kepada nas Al-Quran yang putus (qath’i/definitive), dan bukan sebaliknya.

The Origin Of Species: Sebuah kajian jenis al-istiqra' al-naqis (imperfect induction) atau penelitian yang tidak menyeluruh kerana memiliki variati yang terlalu banyak dan tidak dapat dicakup semuanya dalam penelitian manusia. Begitu jugalah 'resepi' dalam kajian falsafah sosial Barat.

KRITIK EPISTEMOLOGI DAN METODOLOGI

Pendiri popular aliran islamisasi ilmu sains sosial, atau lebih tepatnya Ismail Raji Al-Faruqi dan Syed Muhammad Naquib Al-Attas sepakat menolak ilmu moden sekular Barat tapi hanyalah sebatas doktrin (ta’alim/doctrine) sahaja. Namun, mereka masih mengekalkan epistemologi (nazariyatul ma’rifah/epistemology) Barat iaitu berdasarkan akal (‘aql/reason) yang terbatas, bukan petunjuk wahyu yang mutawātir (consecutive) dan bersifat pasti (qath’i/definitive).

Sebagai contoh, dalam kajian sosiologi mereka sepakat menolak pendapat yang mengatakan bahawa manusia berasal daripada kera – iaitu teori evolusi. Penolakan ini adalah semata-mata doktrin. Tetapi ketika mereka cuba menghuraikan jalan penyelesaian dalam masalah sosial, ekonomi, dan politik mereka kekal menggunakan akal (‘aql/reason) dan metodologi (qawa’id/methodology) Barat. Menjadikan falsafah sebagai prinsip (usūl/principles) dan agama sebagai cabang (furu’/branches) pula.

The International of Islamic Thought (IIIT): Pusat Pemikiran Islamisasi Ilmu Sains Sosial di Pennsylvania, US

Ismail Raji Al-Faruqi. Pengasas IIIT

Islam berpegang bahawa keupayaan akal fikiran manusia adalah terbatas. Ia tidak mampu memberi petunjuk kepada manusia dalam perkara yang diluar dari peranannya yang telah ditetapkan oleh Allah Swt. itu. “Dan manusia dijadikan bersifat lemah” (an-nisaa’: 28) Hakikat kelemahan akal manusia adalah menjadi nyata dalam dua aspek pengetahuan yang penting. Pertama, aspek pengetahuan yang berhubung dengan perkara-perkara ketuhanan, ukhrawiyyat, dan kerohanian. Kedua, aspek pengetahuan yang berhubung dengan nilai, tingkah laku, dan sistem hidup yang diperlukan oleh manusia bagi mencapai kebahagiaan di dunia.

Dalam masyarakat Islam kelemahan ahli falsafah seperti itu telah didedahkan dengan terangnya oleh Hujjatul Islām Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Tahāfut al-Falāsifa. Beliau berkata antara lain,

“Kami akan mengatakan bahawa tujuan kami hanyalah untuk menunjukkan ketidakmampuan anda untuk menjustifikasikan dakwaan pada pengetahuan realiti wujud dengan hujah konklusif. Kami hendak membuatkan anda meragukan keyakinan anda pada dakwaan-dakwaan anda sendiri. Kini ketidakmampuan anda itu telah jelas, marilah dinyatakan dalam fikiran bahawa ada beberapa orang mempercayai bahawa realiti soal-soal ketuhanan tidak dapat diungkapkan melalui penyelidikan intelektual dan bahawa sebaliknya adalah diluar kemampuan manusia untuk mengungkapkannya.”

John Locke (Inggeris)

Di Barat kesedaran mengenai hakikat kelemahan akal mula disedari khususnya oleh ahli falsafah Empiris pada abad ke-17. John Locke (1632-1704) memetik kembali ucapan Aristotle yang berbunyi,

“Di sana tidak ada sesuatu pun di dalam akal yang tidak dikesani lebih dulu daripada pancaindera”

Ada satu kelemahan yang paling menonjol dalam metodologi sains sosial iaitu tiadanya suatu ukuran pembuktian rasional yang pasti, definitif kata bahasa sekarang. Maka sebagaimana ahli falsafah Metafizik, ahli falsafah dan kajian sosial sehingga setiap aliran yang sama itu berpecah pula kepada beberapa aliran yang berlainan. Perlu difahami bahawa kajian falsafah dibidang kemanusiaan dengan tujuan menyingkap cara hidup yang terbaik baginya telah dikembangkan pada abad ke-18 sehingga ke hari ini oleh ahli falsafah materialis secara meniru kaedah pendekatan dan pembuktian dalam ilmu sains tulen.

Percubaan dilakukan dalam tiga cabang. Pertama, dalam penciptaan ilmu sosiologi melalui pendekatannya oleh Comte. Kedua, falsafah moral khususnya aliran pragmatisme. Ketiga, ilmu psikologi yang diasaskan oleh Frued. Percubaan ini sebenarnya bertujuan menjauhkan agama dari terus memberi pengarahan kepada hidup manusia dengan cara menggantikan ilmu-ilmu sosial ditempat agama!

Kegagalan usaha titik peluh ahli falsafah Barat ini telah didedahkan oleh Dr. Mahmud Othman dalam bukunya dibawah fasal bertajuk “Bahawa Agama Adalah Satu Kemestian Bagi Memandu Manusia di Dalam Tingkah Lakunya dan Dalam Menyusun Masyarakatnya”,

“Dan sekarang kita telah sampai kepada beberapa kesimpulan yang penting iaitu; bahawa ilmu sosiologi telah gagal sepenuhnya dari sudut teori dan perlaksanaan. Ia telah gagal untuk meletakkan hukum bagi tingkah laku manusia yang menepati kaedah hukum sains tabii, dan ia juga tidak berjaya untuk mengukur kenyataan yang berlaku dalam masyarakat, kerana disebabkan semua itu adalah kenyataan-kenyataan kemanusiaan yang tidak mungkin ditundukkan kepada bentuk ukuran silogisme yang terperinci. Dan semenjak zaman Comte hingga ke hari ini, ahli sosiologi tidak berdaya untuk mengatasi masalah ini. Apa yang dapat mereka simpulkan adalah bahawa kemajuan di bidang imu ini dikelilingi oleh pelbagai kerumitan. Dan mereka sekalipun sehingga ke hari ini telah gagal untuk mencapai suatu hukum sains yang terperinci, atau telah gagal menilai kenyataan-kenyataan sosial dengan penilaian dan ukuran yang tepat, masih terus meletakan harapan pada masa akan datang dengan kemajuan ilmu yang lahir pada ketika yang memungkinkan mereka untuk mengatasi kerumitan-merumitan itu tadi.”

Kelemahan-kelemahan ketara falsafah sosial Barat disebabkan oleh enam perkara berikut. Pertama, falsafah tidak mempunyai sebarang ukuran untuk membezakan antara kebenaran dan kesesatan, antara yang betul dan yang salah. Kedua, selama mana falsafah tidak mempunyai suatu ukuran (pembuktian yang boleh dipercayai) untuknya, maka selama itulah buah fikiran falsafah adalah andaian (spekulasi) semata-mata. Ketiga, selama mana tiada jalan untuk sampai kepada suatu keputusan yang diyakini dalam mana-mana persoalan falsafah maka adalah suatu perkara yang pasti bahawa perselisihan pendapat di bidang falsafah adalah berterusan. Keempat, selama mana perselisihan pendapat berterusan di bidang falsafah maka masalah yang merupakan tajuk perbincangan falsafah akan terus serupa dan sama sahaja. Kelima, perselisihan falsafah adalah meratai keputusannya sama ada yang berbentuk negatif, positif, atau keduanya sekali. Dan akan berkesudahan dengan penafian atau penetapan yang mutlak dalam semua masalah. Keenam, sebagai rumusan daripada perkara-perkara sebelumnya, falsafah pada hakikatnya tidak memiliki sebarang pendapat pun baginya (iaitu pendapat yang boleh menjadi sandaran).

KESIMPULAN DAN PENUTUP

Perlu difahami bahawa hakikat kekeliruan gagasan islamisasi ilmu atau gagasan penyelarasan serta semua kesesatan pemikiran zaman ini adalah berhubung langsung dengan sifat lemah dan terbatasnya akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah Swt. kepada manusia. Maka menurut perspektif islam yang sebenar, Islamisasi Ilmu Sains Sosial Barat tidak akan bermakna selain dari menolak segala kesimpulan sosial yang dibina atas sandaran yang bersifat andaian, dan membebaskan segala percubaan mendamaikan kesimpulan sosial yang dibina atas sandaran yang bersifat andaian itu sama ada dari aspek epistemologi maupun metodologinya. Islamisasi Ilmu dengan makna yang lain dari itu, tidak akan beerti selain dari suatu percubaan halus untuk menundukkan Islam kepada khayalan-khayalan ilmu sosial Barat yang dikagumi oleh para intelektual zaman ini. Bagaimanakah mereka hendak menegakkan kebenaran dengan berpandu kepada kesesatan?

Ada pula yang kurang sihat akalnya, mengakui bahawa ajaran dari pemikir Barat itu ada yang sesuai dengan Islam justeru harus didamaikan (atau diislamisasikan). Padahal kalau mereka berfikir sihat, kalau memang ajaran lain itu sebahagiannya sesuai dengan Islam, mengapa tidak Islam yang turun dari langit ini saja yang mereka pertahankan?

Imam Al-Ghazali: Tokoh Pemikir Besar Islam

Adalah jelas sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Al-Ghazali dalam Munqiz Min ad-Dhalal (Pembebasan Dari Kesesatan) bahawa ahli falsafah itu berbincang mengenai persoalan kemanusiaan dan nilai bukanlah diambil dari kajian falsafah dan pemikiran akal mereka tapi dari petunjuk dan ajaran agama yang ditiru dan dicedok oleh ahli falsafah tersebut, atau disebut sebagai stolen legacy. Jadi sekali lagi saya ingin bertanya, mengapa tidak ajaran Islam yang turun dari langit (khabar shādiq) ini saja yang mereka pertahankan?

Wallāhua’lam.

Bahan menarik untuk dirujuk:

  1. Ancaman Bahaya Sekularisme oleh Zulkifli Ismail
  2. Islam and Secularism oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas
  3. Wikipedia Free Ensiklopedia
  4. Tahafut al-falasifa (Kekacauan Para Filsuf) oleh Al-Ghazali
  5. Islamization of Knowledge General Prinsiples and Work Plan oleh Al-Faruqi
  6. Kubral al-Yaqiniyyat (Keyakinan yang Hakiki) oleh Dr. Said Ramadhan al-Buti
  7. Syarah arkanul bai’ah (1) Rukun Al-Fahmu oleh Dr. Ali Abdul Halim Mahmud

Oleh: A.Muchlis

ACEH DAN ISLAMISASI ILMU

15 comments

Hari itu saya ke Banda Aceh. Melihat tanda-tanda kerosakan yang diperbuat oleh orang-orang terdahulu, hingga ditimpa azab oleh Allah Swt. berupa bah tsunami yang sungguh dahsyat. Saya sempat solat jumaat di Masjid Raya Baitul Rahman, melawat kapal besar yang terdampar 5 km dari laut, bertemu dengan pimpinan pelajar institut agama islam Aceh, dan melihat perkampungan yang bagaikan padang jarak padang terkukur.

(Memang jauh berbeza antara pandangan alam visual dengan realitas)

Tidak habis fikir saya bagaimana masjid itu boleh terselamat. Sedangkan air dengan kelajuan 900km/j itu telah menghancurkan bangunan-bangunan batu, rumah, dan mencabut pokok-pokok disekitarnya.

“Teori apakah itu?,”

“Enstein, bernaulli, atau newtonkah?

“Struktur bangunan masjid yang kukuh barangkali,” akal saya belajar berbicara.

Bukan. Saya keliru. Sains tidak dapat memberikan penyelesaian dibidang ketuhanan (metaphysics), akhlak (moral), dan kemanusiaan (social). Harus pakai wahyu. Fenomena ini adalah azab Allah Swt. akibat daripada perbuatan dosa manusia yang pernah berleluasa disini beberapa tahun yang lalu. Syed Qutb menyebutnya dalam Tafsir fi zhilalil quran sebagai Iradatullah Tasyri’yyah.

Teringat saya pada pengajaran Ustaz Zulkifli Ismail, ketika daurah intensif sekumpulan pelajar KISAS tiga tahun lalu. Beliau menjelaskan bahawa, “umat islam mestilah kembali meneracai dan menimbang segala sesuatu di alam ini dengan timbangan pilihan dan perbuatan Allah, dan dengan Qudrah dan Iradah Allah Swt.”

(Pemandangan dari atas kapal besar penjana elektrik yang terdampar di tengah kampong setelah di lempar oleh ‘tentera Allah’ yang bernama air. Kelihatan rumah-rumah yang baru dibangun.)

(Kapal besar pun terdampar, manusia kecil apatah lagi. Credit to Dr. Asyraf jr)

Setelah penat berjalan, saya pun istirahat di perkarangan Masjid Baitul Rahman. Ada penghawa dingin. Tiba-tiba saya terfikir mengenai kelemahan metodologi (qawai’d) dan epistemologi (nazariyatul ‘ilmi) sains social Barat. Entah kenapa persoalan itu juga yang terlintas di benak fikiran saya. Saya tak tahu pasti. Tapi hakikatnya, teori-teori sains sosial itu telah banyak menghantui aliran keintelektualan dalam Negara.

Saya tak mahu sebut nama-nama seperti Prof. Kasim Ahmad, DR. Zainah Anwar, Astora Jabat, atau kaum liberal yang menyamar sebagai pakar (expert scholars) itu. Saya nak menyatakan sanggahan dan kritikan atas aliran islamisasi ilmu.

Adapun saya tak sempat tulis sekarang. Saya harus pulang ke Medan segera, selesaikan skripsi seputar ilmu Oral and Maxillofacial Surgery sebelum terjun ke dunia clinical.

BERKAMPUNG DI PERPUSTAKAAN UNIVERSITI MALAYA

4 comments
(Perpustakaan Universiti Malaya)

Peluang bercuti di kampung memang dinanti-nanti oleh mereka yang berjuang di ‘Menara Gading’. Ada yang keluar berjalan dengan family, melawat saudara-mara, pergi kenduri, berjumpa buah hati, dan tak kurang juga yang menghabiskan waktu cutinya dengan tidur lena di dalam bilik sambil berborak di dunia internet.

Namun, saya memilih perpustakaan sebagai destinasi utama. Destinasi jihad intelektual saya. Dan saya yakin bahwa pilihan saya sama dengan rakan-rakan jama'ah islam, dalam dan luar Negara yang lain. Sama dengan pembaca buku Maalim fi At-Thariq. Sama dengan pembaca buku Usul-Isyrin. Sama dengan pembaca buku Ancaman Bahaya Sekularisme. Sama? Tak mungkin sama. Tidak, ia adalah sama. Ya saya tak ragu, memang sama.

(Prof. Dr. Al-Syeikh Abd Halim Mahmud)

Di sana saya bertemu dengan magnum opus Imam Al-Akbar Prof. Dr. Al-Syeikh Abd Halim Mahmud, mantan Rektor Universiti Al-Azhar, Mesir yang terkenal iaitu islam wa akal, dan ia sudah di terjemah ke dalam Bahasa Malaysia. Buku ini membongkar dengan berani, kesesatan segala falsafah, teori, dan ideologi sekular yang ingin memandu kehidupan manusia dari sebab kegagalannya yang nyata dari segi metodologinya dan epistemologinya (nazariyatul ma'rifah).

Baru saya faham mengapa guru saya, Ustaz Zulkifli Ismail dengan tegas menyatakan bahwa seluruh ajaran, ideologi, teori-teori social, dan falsafah yang di pegang oleh kelompok nasionalis sekular dalam Negara ini sebenarnya adalah andaian (speculations) dan tekaan (assumptions) para intelektual semata. (Surah Yunus: ayat 66)

Saya sempat menyalinnya, hasrat untuk dijadikan sebagai bahan diskusi halaqah kami.

(Islam dan Akal)

Buku Imam Al-Ghazali, Tahafut al-falasifah juga tidak ketinggalan untuk saya garapnya. Karya yang terlalu hebat, hingga mampu menutup semua pintu school of thought aliran sesat Yunani yang mendominasi dunia islam pada ketika itu, yang melibatkan masalah ketuhanan atau metaphysics, kata orang sekarang.

(Tahafut-al-falasifah)

Tidak cukup dengan itu, saya juga mengumpulkan hampir setiap tulisan dan pidato Mohammad Natsir, bekas Perdana Menteri Indonesia dan juga pemimpin gerakan islam terbesar dunia iaitu Partai Majlis Syura Ulama (Masyumi).

Perdebatan beliau dengan kelompok nasionalis-sosialis-komunis (Presiden Soekarno) dan perjuangan menegakkan sebuah negara theodemocracy bukannya democracy, telah dimuatkan dalam bukunya ‘Islam Sebagai Dasar Negara’ dan ‘Capita Selecta I & II’. Adalah sangat tidak wajar jika ahli gerakan mahasiswa, yang kononnya intelektual dan terpelajar, belajar untuk mengabaikannya.

(Capita Selekta)

(Islam Sebagai Dasar Negara)

Dari pagi hingga ke malam, saya hanya berehat untuk makan dan solat. Letih memang. Tapi itu belum seberapa kalau nak dibanding dengan perjalanan intelektual para ulama islam zaman berzaman yang bertanggungjawab untuk memelihara akidah umat akhir zaman ini.

Sebelum saya terlupa, Kubral-al yaqiniyyat karangan Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti juga ada. Karya yang menjadi silibus pengajian pelajar Usuluddin di Timur Tengah ini telah membahas secara panjang lebar mengenai titik kekeliruan yang dialami falsafah Barat, bahkan dilalui oleh salah wa aslah Muktazilah serta pendokong konsep ‘illah ghaiyyah Aristotle di kalangan ahli falsafah Islam seumpama Ibn Rusyd.

Banyak buku yang ingin saya huraikan sebenarnya. Tapi tak kesampaian, justeru kerana artikel ini terlalu kecil kapasitinya. Tulisan yang saya anggap keliru seperti hasil titik-peluh Prof. Syed Naquib Al-Attas, Prof. Ismail Raji Al-Faruqi, dan Prof. Kassim Ahmad itu pun ada. Senang cerita, pergi sana sendiri aja deh!

Sekarang saya harus pulang. Selamat tinggal ya perpustakaan UM, semoga berjumpa lagi!

“Ya, selamat jalan,” batu cuba bersuara tapi tidak bisa.